6.9.12

Permulaan...





Assalamualaikum kawan² dan kepada sesiapa yang mengenali saya.


Alhamdulillah, setelah tiga tahun berlalu, peluang yang saya tunggu-tunggu telah muncul.
Tetapi keputusan yang dibuat bukanlah mudah. Saya terpaksa berhenti daripada meneruskan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur setelah setahun setengah. Ada yang berpandangan bahawa ianya amat rugi. Bagi saya, ianya adalah suatu titik perubahan dan permulaan kepada apa yang saya suka. Betul, saya mempunyai pointer yang sangat bagus dan ada yang mengatakan saya harus meneruskan pengajian. Tetapi tidak bermakna jika saya tidak melakukan perkara yang betul-betul saya minat. 
Sekarang ini saya sudah mengisi borang untuk menarik diri dari pengajian tetapi masih belum dihantar.



Ketika saya mendapat tahu bahawa saya boleh melakukan Abitur(Peperiksaan Akhir Sekolah di German), pada ketika itu saya berhenti seketika dan berfikir sejenak. Adakah saya perlu meneruskan pengajian saya di sini atau mengambil peluang yang telah lama saya idamkan? Saya perlu membuat satu keputusan yang baik.  Lebih-lebih lagi, ini adalah keputusan yang paling besar yang pernah saya hadapi. Sebelum ini saya banyak tersalah langkah. Tapi saya berharap tidak kali ini. Setelah berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan, saya sedar bahawa keputusannya saya yang akan tentukan. Jadi saya telah memilih untuk ke sana. Mak kata, terpulang kepada saya. Apa yang terbaik untuk saya,maka baiklah untuk dia. 



Sekarang saya sedang sibuk melakukan persiapan untuk mendapatkan VISA. Saya bernasib baik kerana rakan saya di Jerman sudi untuk membantu saya. Saya akan tinggal di rumahnya tanpa perlu membayar sewa. Cuma saya agak takut jika permohonan saya tidak diterima oleh Kedutaan Jerman. Jika tidak mungkin saya akan terus di sini dan meneruskan pengajian. Tetapi selepas saya mendapat nasihat dan pengalaman dari rakan-rakan, Insyaallah semuanya akan berjalan lancar. Esok saya akan mendaftar di Goethe Institute Kuala Lumpur untuk mengambil peperiksaan Bahasa Jerman. Peperiksaan tersebut akan dilakukan pada 8.10.12. Doakan saya ok?! ^^

Perasaan saya sekarang sedang bercampur baur. Gembira, sedih dan takut. Perasaan yang tidak boleh digambarkan.  Terima Kasih kepada rakan-rakan yang menyokong keputusan saya dan memberi semangat. Saya tidak akan lupa anda semua.

p/s: maaflah bahasa terlalu skema. baru ber"blog". lepas ni insyaallah lebih funky. ^^


No comments: